Published: Selasa, 20 Oktober 2015 19:30
Polis berjaya memberkas tiga lelaki bersama-sama senjata api dan pelbagai jenis dadah dalam Ops Tapis / Ops Srang di sebuah rumah di Chenderong Balai, Labu Kubong, awal pagi Selasa.
Ketua Polis Daerah Hilir Perak, ACP Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, ketiga-tiga mereka yang tidak memiliki rekod jenayah lampau, diberkas kira-kira jam 3 pagi selepas berlaku bergelutan di dalam rumah berkenaan.
Menurut beliau, kumpulan itu yang dipercayai telah aktif dalam aktiviti pengedaran dadah sejak dua bulan lalu turut didapati positif dadah jenis methamphetamine dan menjadikan sebuah rumah kampung di dalam kebun kelapa sawit sebagai pot pengedaran dan penagihan dadah.
Beliau memberitahu, antara yang dirampas ialah beberapa paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah heroin dan methamphetamine serta paket foil dipercayai dadah jenis eramine 5, satu pucuk pistol, satu bilah pisau banet dan satu beg sandang.
“Jumlah rampasan pada malam tersebut ialah sejumlah RM8,460.95. Kumpulan ini telah disyaki selama dua bulan lepas dan pasukan narkotik saya telah membuat risikan selama dua bulan tersebut, sebelum melancarkan serbuah pada malam, pagi semalam,” katanya ketika sidang media di pejabatnya di IPD Hilir Perak, pada Selasa.
Menurutnya, ketiga-tiga lelaki itu direman selama tujuh hari mulai selasa dan akan disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati senjata api yang dirampas diperolehi dari seorang kenalan di Sabak Bernam untuk simpanan sementara.
Dalam kes berasingan ACP Shuhaily memberitahu, polis menahan 19 warga Indonesia di tiga tempat berasingan di sekitar perairan Rungkup, yang dipercayai mahu pulang ke negara mereka menaiki bot dengan bayaran antara RM600 dan RM1,000
Katanya kesemua pendatang tanpa izin itu yang berumur antara 20 dan 35 tahun, termasuk seorang kanak-kanak telah diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
Menurut beliau, hasil soal siasat mendapati warga asing itu yang dibawa daripada beberapa tempat seperti Pulau Pinang, Johor, Perlis, Taiping dan Lembah Kelang oleh sindiket penyeludupan migran yang dipercayai masih bergiat aktif di sekitar perairan Hutan Melintang dan Rungkup.
“Kita percaya bahawa masih lagi ada saki baki sindiket yang masih melakukan aktiviti ini dan kami di sini akan terus berusaha untuk mematahkan segala usaha menyeludup warga asing keluar daripada negara ini secara haram,” tegasnya.
No comments:
Post a Comment