11 JUN 2015
Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
KUALA LUMPUR - Kerajaan membelanjakan sebanyak RM312.27 juta tahun lepas bagi usaha menangani masalah penyalahgunaan dadah di negara ini.
Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, perbelanjaan itu merangkumi program untuk pengurusan, pembangunan, bidang utama keberhasilan negara (NKRA) dan program khusus yang berkaitan dengan pencegahan, rawatan, pemulihan dan penguatkuasaan.
"Perbelanjaan juga termasuk belanja pengurusan sebanyak RM295 juta di bawah Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)," katanya ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (Pas-Dungun) pada persidangan Dewan Rakyat, hari ini.
Wan Hassan mahu tahu langkah yang diambil terhadap penyalahgunaan dadah dan jumlah perbelanjaan yang dikeluarkan bagi menangani musuh negara itu sepanjang tahun lepas.
Menjawab lanjut, Dr Wan Junaidi berkata, selain langkah pencegahan sedia ada, kerajaan di bawah Majlis Sosial Negara telah menubuhkan satu jawatankuasa bagi melihat keperluan membantu mana-mana agensi atau gerakan kesukarelaan yang boleh membantu kerajaan menangani masalah dadah.
"Ia sebagai usaha menggerakkan gelombang kesukarelaan dalam masyarakat bagi memastikan seluruh masyarakat sedar dan bertindak untuk membanteras penyalahgunaan dadah," katanya.
Bagi langkah penguatkuasaan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) sebagai agensi utama terus memberi fokus ke arah membanteras bekalan dan permintaan dadah dalam negara.
PDRM, kata Wan Junaidi, telah mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan melalui strategi penubuhan Special Tactical Intelligence Narcotics Group (Sting) bagi membanteras raja dadah, sindiket pengedaran dadah berskala besar dan lain-lain
No comments:
Post a Comment