Published: Sabtu, 24 Oktober 2015 12:09
Polis berjaya memberkas 15 penagih dalam Ops Sarang di sekitar kebun kelapa sawit, Kampung Carok Juang, Pantai Besar, Batu Kurau pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Selama, Deputi Superitendan Loo Lian Lay berkata, operasi tersebut bermula sejak 8 pagi dan dikendalikan oleh Bahagian Siasatan Jenayah dan Narkotik Daerah IPD Selama.
"Kesemua yang ditangkap berada dalam lingkungan 28 hingga 57 tahun atas pelbagai kesalahan melibatkan dadah," katanya kepada pemberita.
Menurut beliau, daripada 15 tangkapan itu, dua ditahan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, seorang mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 manakala 12 yang lain di bawah Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah ( Rawatan dan Pemulihan) 1983.
Hasil operasi tersebut, polis juga merampas sebanyak 72.2 gram dadah jenis heroin dan 2.0 gram dadah jenis methampetamin.
Loo berkata, pihaknya meminta kerjasama orang ramai untuk menyalurkan sebarang maklumat berkenaan sebarang kegiatan dadah agar tindakan lanjut dapat dilaksanakan segera.
No comments:
Post a Comment