Tan Sri Lee Lam Thye
IPOH - Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye meminta kerajaan mengkaji semula dasar berkaitan isu jenayah khususnya melibatkan dadah.
Menurutnya, dasar itu perlu ditranformasi bagi memastikan tahap kesesuaian dan keberkesanannya.
"Penyalahgunaan dadah merupakan penyumbang utama kepada perlakuan jenayah di negara kita. Seperti yang kita tahu dasar yang sedia ada tidak lagi berkesan.
"Kita perlu membangunkan satu Dasar Baru Dadah Negara serta strategi yang lebih berkesan bagi menangani musuh utama negara ini. Kunci utama dalam memerangi dadah juga terletak pada strategi pencegahan yang berkesan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) peringkat Negeri Perak, di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri merangkap Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan.
Sementara itu, Samsudin berkata pihak NGO merupakan suara ketiga terpenting dalam menangani isu jenayah melibatkan dadah.
"Sudah lebih tiga dekad dadah masih menjadi masalah utama negara kita. Tanggungjawab untuk menangani masalah jenayah ini bukan hanya kepada pihak berkuasa malahan ia tanggungjawab seluruh masyarakat.
"Saya mengalu-alukan semua yang hadir hari ini membantu kerajaan mengurangkan kadar jenayah," katanya.
Seminar sehari itu bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan serta persepsi rakyat terhadap kadar jenayah.
Seminar itu turut dihadiri 72 NGO yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), PEMADAM, MCPF dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK)
No comments:
Post a Comment