Monday, October 3, 2016

Kes berkaitan dadah meningkat - Perak Today

3 Oktober 2016

IPOH : Seramai 10,348 ditangkap bagi kes yang melibatkan dadah di negeri ini bagi suku tahun ketiga 2016 bermula dari bulan Januari hingga September.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Narkotik Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2015 iaitu sebanyak 9,943 orang.
Ujarnya, daripada jumlah tangkapan yang dicatatkan dari Januari hingga September 2016, seramai 1,693 orang ditangkap atas kesalahan mengedar dadah.
“Jumlah ini meningkat sebanyak 13 peratus berbanding 1,497 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.
“Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau pun perancang serta ‘financier’ dalam sindiket yang telah ditumpaskan serta ‘street pushers’ yang menyebabkan kegusaran dalam komuniti,”katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah, beliau berkata, tindakan dibawah Akta Perlucutan Harta 1988 terhadap semua pengedar-pengedar dadah yang ditangkap telah menghasilkan rampasan berbagai jenis harta benda termasuk rumah, kondominium, tanah, kereta dan akaun bank bernilai RM7.8 juta.
Tambahnya, ia meningkat sebanyak 26 peratus berbanding tahun 2015 iaitu sebanyak RM6.1 juta bagi tempoh yang sama.
“Bagi kes tangkapan memilik dadah pula, bagi Januari hingga September 2016 adalah seramai 8,554 orang, peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding 8,358 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.
“Kesemua tangkapan kes-kes pengedaran dan memiliki ini telah menghasilkan rampasan berbagai jenis dadah yang berjumlah RM7.3 juta.
“Trend terkini penyalahgunaan dadah di Perak yang paling ketara adalah syabu iaitu peningkatan secara mendadak sebanyak 659 peratus di samping penyalahgunaan heroin dan ganja,”jelasnya.
Beliau berkata, seramai 1,904 orang penagih baru berjaya ditangkap dari Januari hingga September 2016 berbanding 1,836 orang bagi tempoh yang sama tahun 2015 manakala penagih berulang adalah seramai 3,243 orang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak akan terus meningkatkan tindakan terhadap ancaman gejala dadah di negeri Perak sehingga hujung tahun 2016 bagi memastikan gejala ini dapat dibendung secara berterusan,”tegasnya.

114 pelajar di Perak positif dadah Lebih membimbangkan kebanyakan mereka positif dadah sintetik - Utusan Malaysia

SYED HESHAM IDRIS  |  23 September 2016 12:16 AM



IPOH 22 Sept. - Seramai 114 pelajar sekolah menengah di negeri Perak dikesan positif dadah sehingga Jun lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan berkata, jumlah itu dikesan selepas ujian air kencing dilakukan terhadap 2,589 pelajar di negeri ini. 

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri berkata, apa yang membimbangkan kebanyakan pelajar yang terlibat dikesan positif dadah sintetik. Sehubungan itu, beliau meminta guru-guru supaya mengambil tindakan segera seperti memberi sesi kaunseling kepada pelajar yang terlibat. 

"Jangan sorok masalah ini kera­na dibimbangi ia akan menjadi seperti barah tahap empat yang tidak boleh diubati lagi,” kata­nya ketika berucap meras­mikan Karnival Fesko Pema­dam Chulanian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini hari ini. 

Turut hadir Pegawai Daerah Kinta, Tarmidzi Abd. Manaf, Timbalan Pengerusi Pemadam negeri, Profesor Dr. Ri­chard Ng dan Pengetua SMK Raja Chulan, Mohmad Guffri Alpiah. Samsudin berkata, bagi me­ngatasi dadah dalam kalangan pelajar, pihaknya melaksanakan strategi lautan biro kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri. 

Menurutnya, semua gerak kerja itu akan berpandukan Pelan Tindakan Strategik Pemadam yang telah dilancarkan tahun lalu. Katanya, kerajaan negeri memandang serius kes penagihan dadah di negeri ini yang disifatkannya membimbangkan. "Ibu bapa dan masyarakat perlu bersikap ambil kisah untuk bersama-sama meme­rangi masalah dadah," katanya.

Tuesday, September 27, 2016

Program Karnival FESKO PEMADAM Chulanian

24 Sept 2016



PEMADAM Negeri Perak dengan kerjasama pihak SMK Raja Chulan telah berjaya menganjurkan program Karnival FESKO PEMADAM Chulanian dari 22 Sept hingga 24 Sept 2016.




Program ko-kurikulum ini telah dirasmikan leh YB Dato' Samsudin Bi Abu Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil dan NGO merangkap Pengerusi PEMADAM Negeri Perak darul Ridzuan.




Berbagai aktiviti ko-kurikulum serta pameran telah dijalankan sepanjang 3 hari Ini termasuk pertandingan melukis poster mengenai dadah, taklimat bahaya dadah dan jenayah. Turut diadakan pertandingan mini jogaton yang turut melibatkan beberapa buah sekolah di daerah Kinta.




Monday, September 26, 2016

Tanam ganja: Pelakon drama, anak 'Datuk' ditahan polis - Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Seorang pelakon drama dan seorang anak 'Datuk' adalah antara tiga lelaki yang ditahan di sebuah banglo di Jalan Ampang Ulu di sini kerana disyaki terlibat dalam penanaman pokok ganja, mengguna dan menjual dadah itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, turut ditahan seorang lelaki warga Filipina yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan teknologi maklumat di sini.
Katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 dan 36 tahun, termasuk anak kepada pemilik banglo berkenaan yang turut memiliki sekolah persendirian antarabangsa, ditahan dalam serbuan pukul 12.40 tengah hari Sabtu lalu
"Pemeriksaan ke atas rumah itu turut menjumpai tiga pasu disyaki pokok ganja berketinggian 19 hingga 100 sentimeter, dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan berat lebih 400 gram dan satu tiub straw mengandungi benih disyaki benih ganja," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 
Selain itu, turut dirampas adalah bahan dan peralatan menanam pokok ganja, empat pistol angin pelbagai jenis, dua senapang angin pelbagai jenis, tujuh pedang samurai dan 19 pisau pelbagai jenis, sehelai vest polis dan satu lampu beacon. 
"Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM25,000," katanya. 
Mengulas lanjut, Amar Singh berkata, benih itu dipercayai diseludup dari United Kingdom dan aktiviti menanam ganja berkenaan dikatakan aktif sejak empat bulan lepas. 
Katanya dadah berkenaan dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri selain dijual. 
Beliau berkata pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah, dan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama

Tuesday, August 2, 2016

Dadah Di Kalangan Nelayan - Perak Perketat Kawalan Pesisir Pantai - Suara Perak

2 Ogos 2016

TAPAH: perak telah memperketatkan lagi kawalan di sepanjang pesisir pantai di negeri itu bagi 
menyekat kemasukan bekalan dadah yang dianggap serius ketika ini, khususnya di kalangan nelayan.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kawalan itu dilaksanakan secara bersepadu bersama-sama bebeberapa agensi seperti pihak polis, tentera, maritim, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PEMADAM dan pihak berkuasa tempatan.

Menurut beliau, sebanyak 30 kawasan di seluruh negeri telah dikenalpasti sebagai kawasan panas, termasuk kawasan pantai di Kerian, Larut Matang Selama dan Manjung.

Dalam masa sama, kata beliau, semua ketua kampung mesti menyediakan profil terkini kampung mereka, termasuk orang kena pemerhatian (OKP) yang mesti dibentangkan di dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).

“Sudah pasti apabila kita melakukan tindakan secara NBOS dengan AADK, Pengasih, pusat serenti dan pelbagai lagi, kita mengenalpasti siapa mereka dan maklumat  terperinci diberikan kepada agensi dan jabatan yang berkaitan untuk diambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada bakal jemaah haji di Masjid Batu 3, Jalan Pahang, dekat sini pada Selasa.

Samsudin berkata, masyarakat mesti memainkan peranan masing-masing dan tidak memulau OKP dan keluarga mereka kerana tindakan itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat sekeliling.

“Jangan lupa peranan kita, kadang-kadang kita tuding jari pada orang, jangan kita  pulaukan mereka, ini adalah tanggungjawab yang saya rasa belum dilaksanakan secara lebih total,” ujarnya.

Baru-baru ini, Yang Dipertua Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi mendedahkan lebih daripada 70 peratus nelayan di seluruh negara terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah yang serius.

Samsudin berkata, kerajaan negeri amat serius dalam usaha membenteras dadah di semua peringkat, termasuk di kalangan nelayan, selaras dengan sasaran perak bebas dadah menjelang tahun 2020.

Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau yang juga ADUN Air Kuning menyampaikan sumbangan pakaian ihram, telekung dan wang tunai RM500 kepada 73 bakal jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci mulai Jumaat ini.

Tuesday, April 26, 2016

Polis Perak Rampas 14.5 Kilogram Heroin - Suara Perak

April 26, 2016

IPOH - Polis Perak berjaya merampas 14.5 kilogram heroin bernilai RM280,000 selepas menahan seorang lelaki berusia 40-an di tempat parkir Hentian Sebelah Taiping Lebuhraya Utara - Selatan pada Jumaat lalu.

Timbalan Ketua Jabatan Siastan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, Supt Abdul Latiff Mehat berkata, suspek yang bekerja sebagai buruh itu telah ditahan ketika berada dalam kereta jenis Proton Saga kira-kira jam 12.40 tengahari.



"Hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu, polis menemui satu beg berwarna hitam berisi 10 paket besar plastik lutsinar disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 4,510 gram bernilai RM90,000," katanya dalam satu sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Perak pada Selasa.

Kata beliau, pada Sabtu pula, bertindak atas aduan orang awam, Polis telah menyerbu sebuah pondok di kawasan estate, Simpang dekat Taiping dan menjumpai 20 bungkusan dadah jenis sama dengan anggaran berat 10 kilogram serta alatan memproses dadah.

Beliau berkata serbuan yang dilakukan itu dipercayai mempunyai kaitan dengan suspek yang ditahan itu, namun polis masih menjalankan siasatan lanjut.

"Walaupun tiada tangkapan dibuat, polis telah merampas peralatan yang dipercayai untuk kegunaan memproses dadah iaitu timbang, alat penapis, generator, alat penyukat warna, baldi, besen, tong gas, tong drum, dapur gas, kuali, selain tiga buah motosikal.

“Kedua-dua kes dadah yang dirampas ini boleh dibekalkan untuk penagih dadha lebih kurang 12,000 orang dan ianya disyaki untuk edaran di sekitar Perak," ujarnya.

Beliau memberitahu, suspek kini ditahan reman selama tujuh hari mulai Jumaat lalu dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dijatuhkan hukuman mati mandatori, jika disabitkan kesalahan.

Friday, April 22, 2016

Indeks Jenayah Tapah Turun Sembilan Tahun Berturut-Turut - Perak Today

March 31, 2016

TAPAH – Indeks jenayah di daerah Tapah turun selama sembilan tahun berturut-turut sejak 2006, hasil kerjasama semua pihak, termasuk komuniti setempat.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, berdasarkan kepada itu, tidak mustahil ia akan terus turun tahun ini.



Menurut beliau, jika ia menjadi kenyataan, bermakna Tapah mencatatkan rekod antara daerah yang berjaya menurunkan indek jenayah untuk tempoh 10 tahun berturut-turut.

“Saya akui ia bukanlah mudah, tambahan pula dengan keadaan sara hidup yang meningkat dan harga komoditi yang rendah, tetapi ia memerlukan komitmen yang tinggi semua pihak,” katanya ketika ditemui selepas meraikan kira-kira 350 pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di kediaman beliau di sini pada Rabu malam.

Hadir sama Ketua Polis Daerah Tapah, Ketua Polis Daerah Tapah, Superitendan Som Sak a/l Din Keliaw.

Samsudin berkata, majlis itu dianjurkan antara lain bertujuan memberi pengiktirafan kepada jasa pasukan polis yang telah berkhidmat 209 tahun menjaga keselamatan rakyat di samping merapatkan lagi hubungan polis dan komuniti.



Beliau memberitahu, antara cabaran yang perlu diberi tumpuan sekarang ialah peningkatan indeks dadah di seluruh Perak yang mencatatkan peningkatan tahun lalu, berbanding tahun sebelumnya.

Beliau yang juga Pengerusi PEMADAM Perak berkata, tiga fokus utama akan diberi perhatian, iaitu pelajar bebas dadah, komuniti bebas dadah dan pekerja bebas dadah.

“Kita sudah mula memasuki sekolah-sekolah untuk memberi pendedahan kepada pelajar dan ibu bapa mengenai bahaya dadah dan usaha menanganinya dari peringkat akar umbi,” ujarnya.

Beliau menambah, komuniti setempat juga perlu memberi kerjasama mengawal keluarga masing-masing bagi mengelakkan berlakunya kes-kes baharu penagihan dadah.

“Kita juga meminta majikan mengambil perhatian serius memantau kakitangan mereka daripada terlibat dalam penyalahgunaan dadah, sekaligus membantu membebaskan tempat kerja daripada dadah,” kata beliau.