TAPAH: perak telah memperketatkan lagi kawalan di sepanjang pesisir pantai di negeri itu bagi
menyekat kemasukan bekalan dadah yang dianggap serius ketika ini, khususnya di kalangan nelayan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, NGO dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, kawalan itu dilaksanakan secara bersepadu bersama-sama bebeberapa agensi seperti pihak polis, tentera, maritim, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), PEMADAM dan pihak berkuasa tempatan.
Menurut beliau, sebanyak 30 kawasan di seluruh negeri telah dikenalpasti sebagai kawasan panas, termasuk kawasan pantai di Kerian, Larut Matang Selama dan Manjung.
Dalam masa sama, kata beliau, semua ketua kampung mesti menyediakan profil terkini kampung mereka, termasuk orang kena pemerhatian (OKP) yang mesti dibentangkan di dalam mesyuarat bulanan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK).
“Sudah pasti apabila kita melakukan tindakan secara NBOS dengan AADK, Pengasih, pusat serenti dan pelbagai lagi, kita mengenalpasti siapa mereka dan maklumat terperinci diberikan kepada agensi dan jabatan yang berkaitan untuk diambil tindakan,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian sumbangan kepada bakal jemaah haji di Masjid Batu 3, Jalan Pahang, dekat sini pada Selasa.
Samsudin berkata, masyarakat mesti memainkan peranan masing-masing dan tidak memulau OKP dan keluarga mereka kerana tindakan itu akan menjauhkan lagi mereka daripada masyarakat sekeliling.
“Jangan lupa peranan kita, kadang-kadang kita tuding jari pada orang, jangan kita pulaukan mereka, ini adalah tanggungjawab yang saya rasa belum dilaksanakan secara lebih total,” ujarnya.
Baru-baru ini, Yang Dipertua Pengasih, Datuk Mohd Yunus Pathi mendedahkan lebih daripada 70 peratus nelayan di seluruh negara terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah yang serius.
Samsudin berkata, kerajaan negeri amat serius dalam usaha membenteras dadah di semua peringkat, termasuk di kalangan nelayan, selaras dengan sasaran perak bebas dadah menjelang tahun 2020.
Samsudin berkata, kerajaan negeri amat serius dalam usaha membenteras dadah di semua peringkat, termasuk di kalangan nelayan, selaras dengan sasaran perak bebas dadah menjelang tahun 2020.
Sementara itu, pada majlis berkenaan, beliau yang juga ADUN Air Kuning menyampaikan sumbangan pakaian ihram, telekung dan wang tunai RM500 kepada 73 bakal jemaah haji yang akan berangkat ke tanah suci mulai Jumaat ini.
No comments:
Post a Comment