Monday, October 3, 2016

Kes berkaitan dadah meningkat - Perak Today

3 Oktober 2016

IPOH : Seramai 10,348 ditangkap bagi kes yang melibatkan dadah di negeri ini bagi suku tahun ketiga 2016 bermula dari bulan Januari hingga September.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Narkotik Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2015 iaitu sebanyak 9,943 orang.
Ujarnya, daripada jumlah tangkapan yang dicatatkan dari Januari hingga September 2016, seramai 1,693 orang ditangkap atas kesalahan mengedar dadah.
“Jumlah ini meningkat sebanyak 13 peratus berbanding 1,497 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.
“Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau pun perancang serta ‘financier’ dalam sindiket yang telah ditumpaskan serta ‘street pushers’ yang menyebabkan kegusaran dalam komuniti,”katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah, beliau berkata, tindakan dibawah Akta Perlucutan Harta 1988 terhadap semua pengedar-pengedar dadah yang ditangkap telah menghasilkan rampasan berbagai jenis harta benda termasuk rumah, kondominium, tanah, kereta dan akaun bank bernilai RM7.8 juta.
Tambahnya, ia meningkat sebanyak 26 peratus berbanding tahun 2015 iaitu sebanyak RM6.1 juta bagi tempoh yang sama.
“Bagi kes tangkapan memilik dadah pula, bagi Januari hingga September 2016 adalah seramai 8,554 orang, peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding 8,358 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.
“Kesemua tangkapan kes-kes pengedaran dan memiliki ini telah menghasilkan rampasan berbagai jenis dadah yang berjumlah RM7.3 juta.
“Trend terkini penyalahgunaan dadah di Perak yang paling ketara adalah syabu iaitu peningkatan secara mendadak sebanyak 659 peratus di samping penyalahgunaan heroin dan ganja,”jelasnya.
Beliau berkata, seramai 1,904 orang penagih baru berjaya ditangkap dari Januari hingga September 2016 berbanding 1,836 orang bagi tempoh yang sama tahun 2015 manakala penagih berulang adalah seramai 3,243 orang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak akan terus meningkatkan tindakan terhadap ancaman gejala dadah di negeri Perak sehingga hujung tahun 2016 bagi memastikan gejala ini dapat dibendung secara berterusan,”tegasnya.

No comments:

Post a Comment