Saturday, October 3, 2015

Ucapan Penangguhan Wakil PEMADAM Perak di Perhimpunan PEMADAM Kebangsaan ke 40

3 Okt 2015

Berikut adalah teks ucapan penangguhan yang telah disampaikan oleh Prof. Madya Dr. Richard Ng, mewakili PEMADAM Perak.

1.    Bagi pihak 71 orang Perwakilan Pemadam Perak yang hadir pada Mesyuarat Agung Pemadam Kebangsaan Ke 40, saya ucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Tuan Rumah Pahang atas kejayaan menganjurkan Mesyuarat ini dengan jaya. Saya juga ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas Majlis Makan yang disediakan oleh Kerajaan Negeri Pahang Darul Makmur.

2.     Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada pihak AADK atas keterbukaan mereka dalam dalam memaparkan data terperinci kes-kes dadah dari tahun 2010 hingga 2014 dan tahun-tahun sebelumnya supaya dapat digunakan masyarakat termasuk pihak Pemadam dalam usaha mencari jawapan bagi merungkaikan masalah ancaman najis dadah selama ini.

3.     Dalam masa yang sama, saya juga ingin menyeru kepada pihak PDRM serta PPDa turut berbuat demikian dengan menyalurkan maklumat yang amat kami perlukan sebagai rujukan tindakan yang perlu kami ambil dalam pencegahan penyalahgunaan dadah.

4.     Begitu juga dengan pihak Pemadam Kebangsaan perlu mengikut contoh baik AADK agar dapat mengumpul maklumat dan memaparkan aktiviti serta pencapaian yang telah diperolehi selama ini agar masyarakat boleh menilai keberkesanan peranan Pemadam bersama kerajaan dalam memerangi ancaman dadah.

Tuan-tuan dan puan-puan sidang hadirin sekalian.

5.     Dadah telah diisytiharkan sebagai musuh nombor 1 negara pada tahun 1983. Dan kini pada tahun 2015, dadah masih merupakan musuh nombor 1 negara. Sudah tentu matlamat kita untuk mencapai Negara Bebas Dadah pada tahun 2015 tidak dapat kita capai.

6.     Mengikut laporan ‘World Drugs Report 2015’ oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bahagian Dadah dan Jenayah, matlamat ASEAN BEBAS DADAH pada asalnya telah ditetapkan pada tahun 2020. Memandangkan betapa seriusnya ancaman najis dadah, maka sasaran itu telah dipercepatkan kepada tahun 2015.

7.     Tetapi malangnya, matlamat ini tidak berhasil kerana pelaksanaannya tidak memenuhi kriteria yang diperlukan. Saya juga tidak yakin bahawa Malaysia akan bebas dari dadah pada tahun 2020 melainkan kita ambil pendekatan drastik dan berbeza. Jadi apakah tindakan drastik dan berbeza itu?

8. Mengikut Einstein, melakukan sesuatu perkara yang sama secara berulang-ulang dan mengharapkan keputusan yang lebih baik, tidak mungkin akan berlaku malah tidak masuk akal sama sekali.

9.     Pendekatan yang berbeza tersebut mesti menjurus kepada pemokusan kepada pencapaian KPI dan keberhasilan kuantitatif yang perlu diukur apabila sesuatu intervensi diambil. Apabila intervensi dijalankan tetapi tidak diukur atau tidak memenuhi KPI yang ditetapkan, maka program intervensi yang diambil adalah sia-sia belaka dan inilah yang menjadi punca kenapa selama ini negara kita tidak dapat menurunkan angka statistik bilangan penagih dadah.

10.  Maka Pemadam Perak mengambil tindakan drastik dengan membangunkan satu Pelan Tindakan Strategik 2015-2020 dengan menetapkan KPI seperti yang disarankan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dengan memberi tumpuan pada 6 tonggak utama yang termasuk Pelajar, Keluarga, Pekerja, dan Komuniti Bebas Dadah. Pemadam Perak juga akan memberi tumpuan kepada pencegahan penyalahgunaan dadah dengan menubuhkan unit pada peringkat mukim bagi menangani jenayah dadah pada peringkat mukim termasuk pemutihan kawasan hotspot.
  
11.  Di sini suka saya maklumkan bahawa YAB Menteri Besar Perak sentiasa bersama kami dalam memerangi jenayah dadah. Pemadam Perak amat berterima kasih kepada YAB Dato Seri Dr. Zambry Abd Kadir kerana menaikkan peruntukan kepada Pemadam Perak dari RM500,000 kepada RM1 juta pada tahun 2015.

12.  Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Pegawai-Pegawai Daerah Perak selaku Pengerusi Pemadam Daerah serta Penghulu Mukim sebagai Pengerusi Unit Pemadam Mukim dalam misi memerangi dadah habis-habisan di Perak.

13.  Bagi memastikan keberkesanan perlaksanaan Pelan Tindakan Strategik 2015-2020, Pemadam Perak telah mewujudkan Jawatankuasa Perancang dan Pemikir yang diketuai oleh YBhg Prof. Dr. Richard Ng yang akan memantau dan mengukur pencapaian KPI yang telah ditetapkan serta mengambil tindakan penambahbaikan yang diperlukan.  

14.  Sukacita juga saya melaporkan bahawa beberapa inisiatif yang berdasarkan kepada Pelan Tindakan Strategik Perak telah diambil. Pemadam Perak berjaya menghasilkan lagu DADAH MUSUH NEGARA yang akan diviralkan melalui Youtube dan Media Sosial.

15.  Pemadam Perak juga telah berjaya menjalankan program Pelajar Bebas Dadah melalui Program Karnival Laluan PPDa dan One Stop Centre di SMK Tok Perdana, Sitiawan yang melibatkan seluruh komuniti pelajar dan guru sekolah di daerah Manjung.

16.  Segala Intervensi yang diambil akan diukur keberkesanannya setiap 3 bulan di kesemua 10 daerah di Perak oleh Jawatankuasa Perancang dan Pemikir supaya tindakan penambaikan dapat diambil.

17.  Dengan adanya Pelan Tindakan Strategik ini juga tidak bermakna Perak akan dapat capai sasarannya pada tahun 2020 jika pelaksanaannya tidak dijalankan dengan berkesan dan tidak mendapat sokongan penuh semua agensi kerajaan termasuk AADK, PDRM, JPN, serta Pemimpin Masyarakat dan NGO.

18.  Justeru, sudah sampai masanya Pemadam Perak menggesa AADK dan PDRM yakni dua buah agensi yang mempunyai autoriti penangkapan bekerjasama dengan PEMADAM memperjuangkan nasib anak bangsa kita.

19.  Sidang hadirin sekalian. Data 2014 masih menunjukkan bilangan penagih dadah berbangsa Melayu berada pada tahap 78%. Pada tahun 2010 ia berada pada tahap 79%. Selepas 5 tahun hanya pengurangan sebanyak 1% dicapai walaupun berbagai-bagai inisiatif telah diambil. Dari segi peratus penagih dadah remaja yakni berumur di bawah 30 tahun, pada tahun 2010 berada pada tahap 55.6% dan pada tahun 2014 turun sebanyak 13.8% menjadi 41.8% pada hal sasaran penurun PBB adalah 50%. Jadi ternyata tindakan yang diambil selama ini tidak menjurus kepada sasaran yang tepat.

20.  Justeru, saya mencadangkan supaya pihak AADK dan PDRM mengambil tindakan drastik dengan menggunakan pendekatan yang berbeza ke arah pencapaian sasaran yang ditetapkan PBB. Laporan mereka mestilah menjurus ke arah pencapaian KPI. Dengan berbuat demikian tumpuan dapat diberikan seratus peratus dalam memerangi dadah dengan lebih berkesan.

21.  Saya juga amat kesal kerana terdapat masalah integriti di beberapa anggota PDRM yang telah ditahan kerana disyaki mengedar dadah. Pujian harus diberi kepada pihak atasan PDRM yang berjaya mengesan dan memberkas mereka ini.


22.  Akhir kata, sebelum saya mengundur diri, saya ucapkan syabas kepada Dato Yang DiPertua Pemadam Kebangsaan yang telah juga mengambil inisiatif bagi mewujudkan Pelan Tindakan Strategik Pemadam pada peringkat kebangsaan.  Mudah-mudahan segala usaha kita mendapat berkat.     

No comments:

Post a Comment