Saturday, October 3, 2015

PEMADAM mahu akta kesalahan berkaitan ketum - Berita Harian

3 Okt 2015


ANGGOTA polis memeriksa daun ketum seberat 53 kilogram yang dirampas pada sidang media di IPD Kubang Pasu, Disember tahun lalu. - Foto Danial Noordin
KUANTAN: Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) mencadangkan agar satu akta baharu kesalahan berkaitan ketum diwujudkan secepat mungkin bagi membendung kegiatan itu daripada terus berleluasa dalam masyarakat negara ini. 

Yang Dipertuanya, Datuk Mohd Johari Baharom, berkata sebelum ini Rang Undang-Undang kesalahan berkaitan ketum telah dibentang di Dewan Rakyat bagi membuat pindaan kepada Akta Dadah Berbahaya 1952 untuk memasukkan takrif ketum sebagai dadah berbahaya. 

"Bagaimanapun, ia ditangguhkan sebab terdapat Ahli Parlimen yang mahu ia diperhalusi dan diperbaiki dan baru-baru ini Rang Undang-Undang itu dibentang semula di Parlimen. 

"Mereka ramai yang bersetuju agar satu akta baharu diwujudkan bersendirian dan kesalahan berkaitan ketum tidak dimasukkan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis Makan Malam sempena Perhimpunan Agung PEMADAM Ke-40 yang dihadiri 1,700 perwakilan di sini malam tadi. Turut hadir, Setiausaha Agung, Datuk Mohd Suhaimi Abdullah dan Pengerusi Jawatankuasa Penyelaras PEMADAM Negeri, Datuk Dr Ahmad Shukri Ismail. 

Mohd Johari yang juga Timbalan Menteri Pertahanan berkata, PEMADAM bersedia menubuhkan satu jawatankuasa bagi menggubal rang undang-undang baharu itu agar kewujudan akta itu dapat memberi impak yang baik kepada masyarakat. 

"Kita mempunyai anggota yang pakar dalam hal berkaitan ketum ini dan diharapkan jawatankuasa ini dapat membawa suara akar umbi yang mahukan kesalahan berkaitan ketum terus dibendung," katanya. 

Katanya, ketum yang berasal dari tanaman liar, kini semakin mendapat sambutan dalam kalangan masyarakat dan ada yang menanamnya secara meluas. "Ada juga yang menjadikannya sebagai serbuk dan menjual dalam bentuk pil secara berleluasa di internet. 

Ini yang kita mahu bendung kerana ia akan memberi kesan kepada masyarakat khususnya kepada golongan muda masa kini," katanya.



No comments:

Post a Comment