AHMAD ZAHID HAMIDI (lima dari kiri) dan Menteri Besar Kedah, Mukhriz Tun Mahathir (enam dari kiri) bersama pemimpin delegasi ASEAN dari kiri Hamdan Abu Bakar (Brunei), Kao Khondara (Kemboja), Budi Waseso (Indonesia), Kou Chansina (Laos), Khaw Zan Myint (Myammar), Rommel L Garcia (Filipina), Desmond Lee (Singapura), Nivat Meenayotin (Thailand), Le Quy Vuong (Vietnam) dan Setiausaha ASEAN, Selvaraju Mala (kanan) semasa menghadiri Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN mengenai Isu Dadah (AMMD) Ke-4 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Langkawi (LICC), Langkawi, Kedah, semalam. UTUSAN/ISMAIL KAMADIN
LANGKAWI 29 Okt. - Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, usaha menangani isu dadah di negara-negara ASEAN memerlukan bukan sahaja kenyataan-kenyataan keras tetapi tindakan yang berkesan dari semua negara di rantau ini.
Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Dalam Negeri itu tidak menafikan usaha menangani isu berkenaan amat sukar lantas sasaran untuk melihat rantau ini bebas daripada ancaman dadah pada tahun ini merupakan suatu fatamorgana atau ilusi.
Beliau berkata, ASEAN perlu mengakui sasaran yang dirangka dalam Mesyuarat Menteri-Menteri ASEAN Tentang Dadah (AMMD) pada 2008 itu telah gagal dicapai.
“Realiti yang harus dihadapi adalah soal dadah yang mana sasaran bebas dadah tidak mempunyai tempoh tertentu ditetapkan dan perlu mengambil langkah jangka panjang.
“Kami (mesyuarat AMMD 2015) telah mengambil keputusan, hasrat untuk mencapai sifar dadah tahun ini adalah suatu fatamorgana atau ilusi yang mustahil untuk dicapai,” katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan AMMD Ke-4 di Pusat Konvensyen
Antarabangsa Langkawi (LICC) di sini hari ini.
Terdahulu Ahmad Zahid merasmikan acara berkenaan yang berlangsung dua hari bermula semalam dengan melibatkan 195 delegasi termasuk menteri dan pegawai kanan ASEAN yang bertanggungjawab dalam isu berkaitan dadah.
AMMD bermula semalam dengan mesyuarat persediaan di peringkat pegawai kanan ASEAN yang berkaitan.
Berucap dalam majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri berkata, ASEAN perlu tegas dalam mempunyai hala tuju jelas, tindakan kolektif dan pendirian dalam menangani isu dadah di rantau ini.
Ahmad Zahid berkata, persediaan seumpama itu juga amat penting bagi ASEAN menyuarakan pendirian rantau ini Persidangan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Dadah Sedunia (UNGASS) pada April tahun depan.
Beliau berkata, penyuaraan dalam persidangan antarabangsa tersebut merangkumi tentang masalah dadah yang dihadapi oleh negara-negara rantau dan cara untuk menanganinya.
“Kehadiran dan penyertaan anda di sini menunjukkan komitmen kita terhadap usaha tersebut.
“Saya tidak ragu-ragu bahawa objektif ini akan dapat dicapai dalam AMMD keempat di bawah semangat, Satu Visi, Satu Identiti, Satu Komuniti,” katanya.
Berucap lanjut, Ahmad Zahid mengingatkan anggota ASEAN agar berhati-hati dengan kesan integrasi ekonomi di rantau ini dalam menangani masalah dadah.
“Sisi gelap daripada kesan perdagangan bebas ini adalah tidak hanya membawa kepada pertumbuhan kewangan, pertumbuhan fizikal dan kemakmuran rantau ini.
“Tetapi ini juga membuka akses kepada kemungkinan menularnya sindiket dadah antarabangsa atau jenayah rentas sempadan memperluaskan operasi mereka,” katanya
Sehubungan itu, beliau berkata, sudah tiba masanya ASEAN perlu mengkaji semua polisi menangani masalah dadah dari semasa ke semasa.
Tambahnya, ASEAN juga berdepan dengan cabaran untuk mengguna pakai polisi dan langkah-langkah menangani dadah berdasarkan bukti, begitu juga dengan kaedah pencegahan yang dibuktikan secara saintifik serta rawatannya.
Tambah beliau, kerjasama dan kolaborasi merentasi sempadan antara negara-negara ASEAN harus diperkukuhkan bagi mengenal pasti mekanisme terbaik dalam memerangi isu dadah di rantau ini.
“Selain itu, negara-negara jiran di rantau ini seperti Jepun, China dan Australia juga harus dilibatkan dalam merancang dan melaksanakan strategi berkaitan memandangkan isu dadah merupakan masalah global tanpa sempadan.
“Malaysia kekal komited untuk bekerjasama di peringkat rantau ini dan antarabangsa berkaitan,” katanya.