Thursday, October 20, 2016

Polis Perak Lupus Dadah Bernilai RM2.81j - Suara Perak

October 20,2016
TAIPING: Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.81 juta dengan anggaran berat 35.6 kilogram (kg) yang dirampas dari tahun 2011 hingga 2016.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, ACP V R Ravi Chandran berkata kesemua dadah tersebut merupakan barang rampasan daripada 3,806 kes melibatkan dadah yang diselesaikan  di 14 daerah negeri ini.

"Dadah yang akan dilupuskan ialah Heroin 5.1kg, Ganja 20.7kg, Syabu 5kg, Ketamin 1.9kg, Ectasy 93gram dan Ubat batuk 3.2kg.

"Selain itu, Eramin Five 63.12gram, Daun ketum 254gram dan dalam bentuk cecair pula 228,415 liter" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelupusan Eksibit Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak 2016 di Taiping pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah 3 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman SAC Datuk Mohd Nadzri Zainal Abidin.

Menurut Ravi lagi,  program pelupusan itu merupakan kali ketiga dibuat di Perak.

"Kesemua dadah ini dilupuskan setelah semua pesalah selesai dibicarakan dan tempoh rayuan bagi kes mereka telah tamat.

"Selalunya sesuatu kes itu akan mengambil tempoh yang lama untuk diselesaikan oleh sebab itu kita buat pelupusan ini setahun sekali untuk memberi ruang kita mengumpul dadah-dadah ini," jelasnya

Beliau juga menambah kesemua dadah itu akan dilupus menggunakan Insinerator yang dikendalikan Syarikat UEM Edgenta Berhad.

Wednesday, October 5, 2016

Lima penagih asyik layan gian dicekup - Suara Perak

October 5, 2016
BOTA: Lima penagih yang begitu asyik layan gian terperanjat apabila rumah sewa dekat Bota Kiri yang dijadikan sarang penagihan diserbu pihak polis dalam satu operasi pada Selasa.



Dalam serbuan sekitar 5 petang itu, sekumpulan pegawai dan anggota telah menyerbu sebuah unit rumah yang dipercayai merupakan sarang golongan penagih hasil maklumat orang ramai.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Perak Tengah, ASP M.D Suresh berkata kesemua lelaki tempatan itu berusia di antara 26 hingga 55 tahun dan sebahagian daripadanya merupakan pekerja buruh kasar.

"Kesemua mereka sedang khayal ketika diserbu pihak polis dan ada juga yang cuba melarikan diri namun gagal.

"Dalam serbuan tersebut kami berjaya menemui 30.7 gram heroin dan ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Perak Tengah pada Rabu.

Katanya, tiga daripada suspek mempunyai beberapa rekod lampau dan kes akan mahkamah disiasat lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Tambahnya, buat masa ini pihaknya masih menyiasat samada kes tersebut merupakan sebahagian daripada sindiket atau ahli geng.

"Pihak polis amat menghargai kerjasama orang ramai yang telah memberikan kerjasama ke atas kes terbabit dan kami mengharapkan bantuan dan maklumat untuk membanteras najis dadah ini akan berterusan,"katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Aziz Hasan berkata indeks aktiviti jenayah di daerah tersebut telah menunjukkan penurunan positif mulai Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

" Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun lepas, kita telah mencatatkan sebanyak 190 kes dan bagi tempoh sama tahun ini ianya adalah sebanyak 163, menunjukkan peratusan penurunan sebanyak 14.2 peratus atau 27 kes.

"Kes terbanyak direkodkan adalah kes curi motosikal sebanyak 53 kes sehingga 4 Oktober ini, dan diikuti dengan kes pecah rumah,"katanya.

Aziz berkata peratusan itu telah berjaya merealisasikan impian mereka untuk memastikan IPD Perak Tengah sentiasa berada di tiga teratas carta IPD terbaik seluruh negeri Perak hasil kerjasama semua pihak

Monday, October 3, 2016

Empat Bersaudara Ditahan Miliki Dadah Bernilai Lebih RM600,000 - Suara Perak

3 Oktober 2016



IPOH: Empat bersaudara ditahan polis di rumah sewa mereka di Chemor pagi Ahad kerana memiliki dadah bernilai lebih RM600,000.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP R. Ravi Chandran, mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berumur antara 22 hingga 36 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis  di sewa rumah berkenaan pada jam 9.30 pagi.



Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis methamphetamine seberat 640 gram dan heroin seberat 1140 gram bernilai RM620,564.00.

`` Dadah tersebut disyaki untuk diedarkan di kawasan Chemor dan boleh dibekalkan untuk 2,500 orang penagih dadah,’’ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di Ipoh pada Isnin.

Menurut Ravi Chandran, kesemua suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (Isnin) sehingga 8 Oktober bagi membolehkan pihak polis menjalankan penyiasatan.

Katanya, kesemua suspek itu ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.
  
Beliau percaya, empat bersaudara itu dipercayai merupakan anggota satu sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif sejak tiga bulan lalu di kawasan Chemor dan polis juga sedang mengesan rangkaian sindiket lain yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kesemua suspek berkenaan.

Ravi Chandran juga memberitahu penyalahgunaan dadah jenis syabu di negeri  Perak meningkat secara mendadak sebanyak 659 peratus disamping penyalahgunaan dadah jenis heroin dan ganja.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga September 2016, seramai 8,554 orang telah ditangkap atas kesalahan  memiliki dadah, peningkatan 3 peratus  berbanding 8,358 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.

``Kesemua tangkapan kes-kes pengedaran dan memiliki dadah ini telah menghasilkan pelbagai jenis dadah yang berjumlah RM7.3 juta.

Beliau memberitahu, bagi Januari hingga September 2016, seramai 1,904 orang penagih baru berjaya ditangkap berbanding 1,836 orang bagi tempoh yang sama tahun 2015 manakala penagih berulang adalah seramai 3,243 orang.

Mengenai sitaan harta pengedar dadah, katanya, tindakan di bawah Akta Perlucutan Harta 1988 terhadap kesemua pengedar dadah yang ditangkap  telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta benda termasuk  rumah, kodominium , tanah dan kenderaan serta akaun bank bernilai RM7.8 juta, berbanding RM6.1 juta bagi tempoh yang sama tahun 2015 iaitu peningkatan 26 peratus.

Kes berkaitan dadah meningkat - Perak Today

3 Oktober 2016

IPOH : Seramai 10,348 ditangkap bagi kes yang melibatkan dadah di negeri ini bagi suku tahun ketiga 2016 bermula dari bulan Januari hingga September.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ) Narkotik Perak, Asisten Komisioner V R Ravi Chandran berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak 4.1 peratus berbanding tempoh yang sama tahun 2015 iaitu sebanyak 9,943 orang.
Ujarnya, daripada jumlah tangkapan yang dicatatkan dari Januari hingga September 2016, seramai 1,693 orang ditangkap atas kesalahan mengedar dadah.
“Jumlah ini meningkat sebanyak 13 peratus berbanding 1,497 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.
“Kebanyakan mereka ini merupakan dalang atau pun perancang serta ‘financier’ dalam sindiket yang telah ditumpaskan serta ‘street pushers’ yang menyebabkan kegusaran dalam komuniti,”katanya dalam satu sidang media yang diadakan di sini, hari ini.
Sementara itu, bagi sitaan harta pengedar-pengedar dadah, beliau berkata, tindakan dibawah Akta Perlucutan Harta 1988 terhadap semua pengedar-pengedar dadah yang ditangkap telah menghasilkan rampasan berbagai jenis harta benda termasuk rumah, kondominium, tanah, kereta dan akaun bank bernilai RM7.8 juta.
Tambahnya, ia meningkat sebanyak 26 peratus berbanding tahun 2015 iaitu sebanyak RM6.1 juta bagi tempoh yang sama.
“Bagi kes tangkapan memilik dadah pula, bagi Januari hingga September 2016 adalah seramai 8,554 orang, peningkatan sebanyak tiga peratus berbanding 8,358 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.
“Kesemua tangkapan kes-kes pengedaran dan memiliki ini telah menghasilkan rampasan berbagai jenis dadah yang berjumlah RM7.3 juta.
“Trend terkini penyalahgunaan dadah di Perak yang paling ketara adalah syabu iaitu peningkatan secara mendadak sebanyak 659 peratus di samping penyalahgunaan heroin dan ganja,”jelasnya.
Beliau berkata, seramai 1,904 orang penagih baru berjaya ditangkap dari Januari hingga September 2016 berbanding 1,836 orang bagi tempoh yang sama tahun 2015 manakala penagih berulang adalah seramai 3,243 orang.
“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak akan terus meningkatkan tindakan terhadap ancaman gejala dadah di negeri Perak sehingga hujung tahun 2016 bagi memastikan gejala ini dapat dibendung secara berterusan,”tegasnya.

114 pelajar di Perak positif dadah Lebih membimbangkan kebanyakan mereka positif dadah sintetik - Utusan Malaysia

SYED HESHAM IDRIS  |  23 September 2016 12:16 AM



IPOH 22 Sept. - Seramai 114 pelajar sekolah menengah di negeri Perak dikesan positif dadah sehingga Jun lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsuddin Abu Hassan berkata, jumlah itu dikesan selepas ujian air kencing dilakukan terhadap 2,589 pelajar di negeri ini. 

Beliau yang juga Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) negeri berkata, apa yang membimbangkan kebanyakan pelajar yang terlibat dikesan positif dadah sintetik. Sehubungan itu, beliau meminta guru-guru supaya mengambil tindakan segera seperti memberi sesi kaunseling kepada pelajar yang terlibat. 

"Jangan sorok masalah ini kera­na dibimbangi ia akan menjadi seperti barah tahap empat yang tidak boleh diubati lagi,” kata­nya ketika berucap meras­mikan Karnival Fesko Pema­dam Chulanian di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Raja Chulan di sini hari ini. 

Turut hadir Pegawai Daerah Kinta, Tarmidzi Abd. Manaf, Timbalan Pengerusi Pemadam negeri, Profesor Dr. Ri­chard Ng dan Pengetua SMK Raja Chulan, Mohmad Guffri Alpiah. Samsudin berkata, bagi me­ngatasi dadah dalam kalangan pelajar, pihaknya melaksanakan strategi lautan biro kebangsaan (NBOS) dengan kerjasama agensi lain seperti Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri. 

Menurutnya, semua gerak kerja itu akan berpandukan Pelan Tindakan Strategik Pemadam yang telah dilancarkan tahun lalu. Katanya, kerajaan negeri memandang serius kes penagihan dadah di negeri ini yang disifatkannya membimbangkan. "Ibu bapa dan masyarakat perlu bersikap ambil kisah untuk bersama-sama meme­rangi masalah dadah," katanya.

Tuesday, September 27, 2016

Program Karnival FESKO PEMADAM Chulanian

24 Sept 2016



PEMADAM Negeri Perak dengan kerjasama pihak SMK Raja Chulan telah berjaya menganjurkan program Karnival FESKO PEMADAM Chulanian dari 22 Sept hingga 24 Sept 2016.




Program ko-kurikulum ini telah dirasmikan leh YB Dato' Samsudin Bi Abu Hassan, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Hal Ehwal Pengguna, Masyarakat Sivil dan NGO merangkap Pengerusi PEMADAM Negeri Perak darul Ridzuan.




Berbagai aktiviti ko-kurikulum serta pameran telah dijalankan sepanjang 3 hari Ini termasuk pertandingan melukis poster mengenai dadah, taklimat bahaya dadah dan jenayah. Turut diadakan pertandingan mini jogaton yang turut melibatkan beberapa buah sekolah di daerah Kinta.




Monday, September 26, 2016

Tanam ganja: Pelakon drama, anak 'Datuk' ditahan polis - Sinar Harian


KUALA LUMPUR - Seorang pelakon drama dan seorang anak 'Datuk' adalah antara tiga lelaki yang ditahan di sebuah banglo di Jalan Ampang Ulu di sini kerana disyaki terlibat dalam penanaman pokok ganja, mengguna dan menjual dadah itu.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh berkata, turut ditahan seorang lelaki warga Filipina yang bekerja di sebuah syarikat pengurusan teknologi maklumat di sini.
Katanya, ketiga-tiga suspek berusia antara 29 dan 36 tahun, termasuk anak kepada pemilik banglo berkenaan yang turut memiliki sekolah persendirian antarabangsa, ditahan dalam serbuan pukul 12.40 tengah hari Sabtu lalu
"Pemeriksaan ke atas rumah itu turut menjumpai tiga pasu disyaki pokok ganja berketinggian 19 hingga 100 sentimeter, dedaun kering disyaki dadah jenis ganja dianggarkan berat lebih 400 gram dan satu tiub straw mengandungi benih disyaki benih ganja," katanya pada sidang media di sini, hari ini. 
Selain itu, turut dirampas adalah bahan dan peralatan menanam pokok ganja, empat pistol angin pelbagai jenis, dua senapang angin pelbagai jenis, tujuh pedang samurai dan 19 pisau pelbagai jenis, sehelai vest polis dan satu lampu beacon. 
"Kesemua barang rampasan dianggarkan bernilai RM25,000," katanya. 
Mengulas lanjut, Amar Singh berkata, benih itu dipercayai diseludup dari United Kingdom dan aktiviti menanam ganja berkenaan dikatakan aktif sejak empat bulan lepas. 
Katanya dadah berkenaan dipercayai digunakan untuk kegunaan sendiri selain dijual. 
Beliau berkata pemeriksaan ke atas ketiga-tiga suspek juga didapati positif dadah, dan kesemua mereka ditahan reman selama enam hari bermula semalam hingga Jumaat ini bagi membantu siasatan. 
Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 6B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 36(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1960 dan Seksyen 7(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958. - Bernama