Showing posts with label DUN Perak. Show all posts
Showing posts with label DUN Perak. Show all posts

Sunday, April 17, 2016

Petani Di Kubu Gajah Diancam Kegiatan Penagihan Dadah - Suara Perak

April 15, 2016

Kegiatan penagihan dadah di kawasan Kubu Gajah serius sehingga ia mengundang keluh kesah kalangan pekebun di situ kerana sering kehilangan hasil tananam.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kubu Gajah, Ahmad Hasbullah Alias berkata pekebun di kawasan ini berputih mata kerana hasil sawit, pisang, dan petai habis dicuri oleh penagih-penagih.



Beliau berkata kegiatan penagih dadah di situ serius dan kritikal sehingga berlaku insiden sekumpulan penagih dadah cuba mengusir ketua kampung kerana ketua kampung itu membuat laporan polis mengenai aktiviti mereka.

Sambil menegaskan insiden itu perlu diberi perhatian serius PDRM, katanya, ia perlu dibendung segera kerana ia melibatkan golongan muda di kawasan itu.

Katanya, pernah berlaku di mana sejumlah 50 penagih dadah ditahan polis di kampung itu dan ia menggambarkan betapa kegiatan itu merupakan satu ancaman keselamatan kepada penduduk kampung.

“Ini jelas mengambarkan satu ancaman yang cukup bahaya dan sebagai ADUN Kubu Gajah, saya mengharapkan pihak polis lebih agresif membendung kegiatan penyalahgunaan di kalangan anak muda di kawasan ini,’’’ katanya semasa membahaskan Titah DiRaja pada persidangan Dewan Negeri di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh.

Sehubungan itu Ahmad Hasbullah juga menyarankan Jabatan Belia dan Sukan turut serta dalam langkah pencegahan dengan menganjurkan lebih banyak program dan aktiviti berfaedah untuk golongan belia di kawasan DUN Kubu Gajah.

Hotspot Penagihan Dadah Bertambah - Suara Perak

April 16, 2016


IPOH - Masalah penagihan dadah di Perak, khususnya di kalangan remaja semakin membimbangkan apabila statistik pada tahun 2014 dan 2015 menunjukkan penambahan kes selain peningkatan 'hotspot' berisiko tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahan, Koperasi, NGO, dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, penambahan kes berkaitan penagihan dadah baharu bertambah berbanding kes berulang yang menunjukkan penurunan.



"Apa yang kita bimbangkan adalah masalah penagihan dadah di kalangan anak muda meningkat, 'hotspot' berisiko tinggi kalau selama ini ada 20 kawasan 'hotspot' pada tahun 2015 bertambah lagi 30 kawasan 'hotspot'.

“Bermakna ada 50 kawasan 'hotspot' yang perlu diberi perhatian secara serius bagaimana kita hendak putihkan kawasan ini supaya wabak dadah di negeri Perak dapat dikurangkan," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Abdullah Fauzi Ahmad Razali (BN-Kampung Gajah) di Sidang DUN mengenai jumlah penagih dadah yang telah pulih daripada ketagihan dan bagaimana mereka dinilai dari sudut bebas dadah.

Dalam pada itu, Samsudin menjelaskan, setakat ini terdapat 109 daripada 294 orang penagih dadah iaitu 37 peratus telah dinilai dan dikategorikan sebagai cemerlang.

"Penilaian bagi kepulihan adalah 46 peratus pada tahap baik, 13.6 tahap memuaskan dan hanya 13 peratus dikira sebagai gagal.

“Kepulihan yang perlu diambil kira sebelum seseorang itu ditentukan tahap kepulihan secara total iaitu penagih itu tidak terlibat dengan dadah dalam tempoh 1 tahun.

"Tidak melanggar syarat pengawasan, sentiasa menghadiri program dan aktiviti anjuran AADK, memiliki pekerjaan tetap, tidak terlibat dengan jenayah dan mendapat pengiktirafan daripada persatuan dan NGO serta laporan perubatan menunjukkan mereka bebas dadah secara konsisten," kata beliau.