Sunday, August 30, 2015

Seminar Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat dan NGO anjuran MMK Cegah Jenayah Perak - 27 Ogos 2015


MMK Cegah Jenayah Perak berjaya menganjurkan Seminar Cegah Jenayah Bersama Masyarakat dan NGO pada 27 Ogos 2015 bertempat di Dewan Bankuet KDN, Bandar Meru Raya, Ipoh, Perak. Program anjuran bersama dengan PDRM, AADK, ROS dan PEMADAM yang diadakan pada julung kalinya telah dirasmikan oleh YB Dato Hj Samsudin Bin Abu Hassan selaku Pengerusi MMK Cegah Jenayah Perak merangkap Pengerusi PEMADAM Perak dan Pengerusi Majlis Mesyurat Kerajaan Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi, Masyarakat Sivil (NGO).







Seramai 500 orang AJK dari 72 buah NGO yang berdaftar dengan ROS beserta anggota Rela, Polis dan Pemimpin Masyarakat telah hadir sama.

YBhg Tan Sri Lee Lam Thye, Naib Penerusi Yayasan Cegah Jenayah Malaysia turut hadir untuk menyampaikan ucaptama. Dalam ucapanya, Tan Sri menyatakan bahawa kebanyakan jenayah berpunca dari penyalahgunaan dadah.

Katanya lagi, negara kita telah mengisytiharkan dadah sebagai musuh nombor 1 negara sejak 1982. Kini ianya masih musuh nombor 1 dan tidak menampakkan sebarang tanda-tanda penurunan dalam statistik.





Justeru beliau menyarankan agar kerajaan membuat kajian drastik terhadap Dasar Dadah Negara yang sedia ada bagi memastikan tindakan yang lebih efektif bagi memerangi dadah.

Terdahulu dari ini. YB Dato Samsudin mengucapkan tanhiah kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan seminar ini. Beliau juga turut menyatakan betapa pentingnya kita menangani isu keselamatan kerana ianya adalah bidang kedua terbesar selepas ekonomi yang dibimbangi rakyat.









Beliau menyeru agar NGO turut serta dengan kerajaan sebagai mata dan telinga untuk melaporkan sebarang kegiatan jenayah di kawasan masing-masing. Beliau juga turut menyatakan bahawa PEMADAM Perak sebagai salah sebuah NGO telah membangunkan Pelan Tindakan Strategik 2015 - 2020 yang telah dilancarkan oleh YAB Menteri Besar Perak pada 12 Februari 2015.

NGO di Perak disaran terlibat sama dalam semua aktiviti anjuran Pengerusi PEMADAM Perak di setiap daerah.



Turut membentangkan kertas di seminar ini termasuk SAC Selvam dari PDRM Perak, Puan Amirthavalli, Pengarah ROS dan Prof. Madya Dr. Richard Ng, Naib Pengerusi PEMADAM Perak.

Selepas selesai seminar, majlis diteruskan dengan sesi dialoh bersama ahli panel yang dipengerusikan oleh YB Samsudin sendiri bersama semua pembentang kertas dari PDRM, ROS, PEMADAM dan AADK.

Thursday, August 27, 2015

Kaji Semula Dasar Tangani Isu Jenayah Terutama Dadah - Lee Lam Thye


IPOH, 27 Ogos (Bernama) -- Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF) Tan Sri Lee Lam Thye meminta kerajaan mengkaji semula dasar berkaitan isu jenayah khususnya melibatkan dadah.



Menurutnya, dasar itu perlu ditranformasi bagi memastikan tahap kesesuaian dan keberkesanannya.

"Penyalahgunaan dadah merupakan penyumbang utama kepada perlakuan jenayah di negara kita. Seperti yang kita tahu dasar yang sedia ada tidak lagi berkesan.



"Kita perlu membangunkan satu Dasar Baru Dadah Negara serta strategi yang lebih berkesan bagi menangani musuh utama negara ini. Kunci utama dalam memerangi dadah juga terletak pada strategi pencegahan yang berkesan," katanya.



Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas perasmian Seminar Pencegahan Jenayah Bersama Masyarakat dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) peringkat Negeri Perak, di sini, Khamis.

Majlis itu dirasmikan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi, NGO dan Masyarakat Sivil negeri merangkap Pengerusi Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (PEMADAM) Perak, Datuk Samsudin Abu Hassan.

Sementara itu, Samsudin berkata pihak NGO merupakan suara ketiga terpenting dalam menangani isu jenayah melibatkan dadah.

"Sudah lebih tiga dekad dadah masih menjadi masalah utama negara kita. Tanggungjawab untuk menangani masalah jenayah ini bukan hanya kepada pihak berkuasa malahan ia tanggungjawab seluruh masyarakat.

"Saya mengalu-alukan semua yang hadir hari ini membantu kerajaan mengurangkan kadar jenayah," katanya.

Seminar sehari itu bertujuan untuk meningkatkan lagi tahap keselamatan serta persepsi rakyat terhadap kadar jenayah.

Seminar itu turut dihadiri 72 NGO yang berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (ROS) serta Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), PEMADAM, MCPF dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

-- BERNAMA