Monday, April 20, 2015

Malaysia Bebas Dadah 2015 - Oleh Khir Khalid

6 Dis 2014

Malaysia Bebas Dadah 2015 – Baru-baru ini kebanyakkan aktivis sosial dan individu yang terlibat dalampencegahan dan pemulihan dadah mula memperkatakan tentang matlamat Malaysia Bebas Dadah 2015 yang diketengahkan satu masa dahulu. Ada sebahagian mengatakan ia hanya retorik dan tidak kurang juga yang mengemukakan penghujahan tentang perlaksanaan. Justeru, KK terpanggil untuk mengutarakan pendapat berdasarkan pandangan sendiri.


Matlamat Malaysia Bebas Dadah 2015


Cadangan Malaysia Bebas Dadah 2015 adalah satu persetujuan yang dicapai oleh semua pemimpin ASEAN yang dibentuk dengan strategi yang disepakati bersama. Namun secara jujur, KK berpendapat ia adalah matlamat yang amat sukar untuk dicapai. Apatah lagi penggunaan dadah hari ini bukan sekadar dari jenis tradisional seperti ganja, heroin, dan sebagainya malah lebih tertumpu kepada penggunaan dadah sintetik jenis ampethamine.


Walaupun KK bukan penagih atau bekas penagih dadah, namun berdasarkan pengalaman, ada sesuatu yang KK dapat rumuskan. Ada diantara mereka yang KK hormati kerana berjaya keluar dari dunia penagihan dan menjadi masyarakat yang berjaya… berkeluarga dan berkerjaya. Ia bukan sesuatu yang mudah jika tidak disertai dengan niat, sokongan dan bimbingan sewajarnya. Namun ramai yang masih terkapai-kapai jatuh dan bangun berulang kali… Majoriti besar membabitkan belia dan remaja Melayu Islam.



Mencegah Dan Merawat Dalam Konteks Malaysia Bebas Dadah


Masalah penagihan dadah bukan satu masalah baru. Berdasarkan statistik ia sudah menunjukkan angka serius sejak lebih 20 tahun yang lalu. Ini dibuktikan apabila KK sendiri pernah berbual dengan penagih dan bekas penagih yang mengakui menagih dadah selama lebih 30 tahun. Pernah juga berjumpa dengan penagih yang keluar masuk penjara lebih dari 11 kali disebabkan dadah.

Masalah berkaitan penyalahgunaan dadah tidak semudahnya diatasi apatah lagi dihapuskan. Begitu juga KK berpendapat matlamat Malaysia Bebas Dadah 2015 sukar dicapai. Walaupun penguatkuasaan dijalankan, ia sememangnya sukar kerana dunia secara keseluruhannya pun tidak pernah bebas daripada masalah dadah. Namun ia boleh dikurangkan hingga ketahap yang minimal dengan kesedaran sosial bermula dari institusi kekeluargaan, gaya hidup belia dan masyarakat seluruhnya.

Keperihatinan Masyarakat Terhadap Dadah Dalam Didikan Kekeluargaan


Melalui pemerhatian juga boleh KK katakan keseluruhan masyarakat negara ini kurang berminat memberikan penumpuan kepada permasalahan dadah untuk dijadikan didikan ‘parenting’ dalam kekeluargaan. Apa yang KK lihat, mereka yang memberi tumpuan dan pendedahan seperti itu kebiasaannya adalah golongan yang mempunyai saudara dan anak yang sudah terlibat dengan dadah. Ibarat kata pepatah… “sudah terhantuk baru tergadah”… wallahualam


Sebagai peringatan buat diri sendiri juga, keseluruhan masyarakat terutama ibu bapa sepatutnya lebih prihatin mencari informasi untuk ditanamkan dalam minda yang tersayang dengan kreativiti tersendiri untuk mereka jadikan perisai agar tidak terlibat dengan gejala penyalahgunaan dadah. Jadikan ia sebagai modul pembelajaran dalam keluarga bersama didikan agama dan sosio budaya yang lain. Ibu bapa adalah guru yang terbaik.

Malaysia Bebas Dadah 2015… cakap memang mudah… Mari kita lakukan bersama... mulakan dengan diri kita sendiri untuk mereka yang tersayang…

Sunday, April 19, 2015

Majlis Masyarakat Sivil mampu raih penglibatan masyarakat dan NGO serta pelajar membantu setiap PBT

9 Jun 2014 - Perak News


Kerajaan negeri Perak menjenamakan semula Majlis Masyarakat Sivil (MMS) di setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negeri ini supaya bergerak selepas dengan hasrat gagasan Perak Amanjaya.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata, mulai tahun ini aktiviti MMS akan memberi tumpuan kepada empat skop utama.
Beliau memberitahu, empat skop itu ialah berkaitan sosial dan keselamatan; ekonomi, perniagaan dan keusahawanan; pelancongan, kebudayaan dan sukan serta kesihatan, kebersihan dan alam sekitar.
"Kerajaan negeri di bawah pimpinan YAB Menteri Besar serius dalam hal ini kerana hanya Perak sahaja yang ada MMS.
"Kita mahu MMS di Perak menjadi contoh kepada negeri-negeri lain," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar MMS Bersama Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) PBT Perak di Casuarina @ Meru di Ipoh pada Isnin.
Hadir sama Timbalan Pengarah Unit Perancangan Ekonomi Negeri, Meor Ismail Meor Akim dan Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Mohd Zakuan Zakaria.
Samsudin memberitahu, MMS akan memberi penekanan utama kepada empat kumpulan sasaran utama di dalam pelaksanaan setiap program mereka.
Menurut beliau, empat kumpulan sasaran itu ialah pelajar sekolah dan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT); belia lepasan sekolah dan IPT; pengguna dan orang awam.
Beliau menjelaskan kerajaan mahu melihat penglibatan antara 200 hingga 300 pelajar sebagai sukarelawan yang akan mengambil bahagian di dalam aktiviti PBT.
"Jika dahulu kita lihat golongan pelajar seolah-olah terpinggir dalam program PBT dan hanya diserahkan kepada Jabatan Pendidikan sahaja tetapi mulai sekarang kita mahu libatkan pelajar sebagai sukarelawan," ujarnya.