Thursday, October 20, 2016

Polis Cekup Lelaki Proses Dadah di Dapur Rumah - Suara Perak

October 20,2016
TAIPING: Tindakan seorang lelaki menjadikan dapur rumahnya sebagai makmal dadah akhirnya terbongkar apabila dicekup oleh pihak polis di Taman Simpang Bakti, Simpang pada malam Selasa.

Dalam tangkapan sekitar 7 malam itu, bertindak pada maklumat risikan, pihak polis telah menahan seorang lelaki berusia 47 tahun di sebuah kediaman dan merampas beberapa barangan pemprosesan dadah di dalam kediaman suspek.



Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Harrith Kam Abdullah berkata, pihak polis juga merampas pelbagai peralatan dan bahan-bahan kimia dipercayai digunakan untuk memproses dadah jenis methampetamin.

"Kami juga merampas bahan disyaki dadah jenis methamphetamine seberat 55 gram yang dianggarkan bernilai RM6,500  di pasaran. 

"Turut dirampas, di bahagian dapur rumah peralatan-peralatan untuk memasak dan botol-botol berisi cecair disyaki bahan kimia berjumlah 8.5 liter dipercayai untuk memproses dadah jenis methamphetamine.

"Pihak polis mempercayai  suspek menggunakan dapur sebagai "mini lab" untuk tujuan memproses dadah," katanya kepada Suara Perak ketika dihubungi pada Rabu petang.

Katanya, semua jenis bahan kimia yang dirampas telah dihantar ke Jabatan Kimia bagi tujuan analisis kandungannya.

Harrith Kam berkata, hasil ujian saringan air kencing ke atas lelaki tersebut mendapati saspek positif dadah jenis ampethamin dan mempunyai dua rekod lampau atas kesalahan penyalahgunaan dadah. 

"Kes akan  disiasat dibawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya ( ADB) 1952 dan jika disabitkan kesalahan boleh digantung hingga mati," ujarnya sambil memberitahu, suspek telah direman selama tujuh hari mulai Rabu.

Polis Perak Lupus Dadah Bernilai RM2.81j - Suara Perak

October 20,2016
TAIPING: Polis Perak melupuskan pelbagai jenis dadah bernilai RM2.81 juta dengan anggaran berat 35.6 kilogram (kg) yang dirampas dari tahun 2011 hingga 2016.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Perak, ACP V R Ravi Chandran berkata kesemua dadah tersebut merupakan barang rampasan daripada 3,806 kes melibatkan dadah yang diselesaikan  di 14 daerah negeri ini.

"Dadah yang akan dilupuskan ialah Heroin 5.1kg, Ganja 20.7kg, Syabu 5kg, Ketamin 1.9kg, Ectasy 93gram dan Ubat batuk 3.2kg.

"Selain itu, Eramin Five 63.12gram, Daun ketum 254gram dan dalam bentuk cecair pula 228,415 liter" katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Pelupusan Eksibit Dadah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kontinjen Perak 2016 di Taiping pada Khamis.

Turut hadir pada majlis itu Timbalan Pengarah 3 Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman SAC Datuk Mohd Nadzri Zainal Abidin.

Menurut Ravi lagi,  program pelupusan itu merupakan kali ketiga dibuat di Perak.

"Kesemua dadah ini dilupuskan setelah semua pesalah selesai dibicarakan dan tempoh rayuan bagi kes mereka telah tamat.

"Selalunya sesuatu kes itu akan mengambil tempoh yang lama untuk diselesaikan oleh sebab itu kita buat pelupusan ini setahun sekali untuk memberi ruang kita mengumpul dadah-dadah ini," jelasnya

Beliau juga menambah kesemua dadah itu akan dilupus menggunakan Insinerator yang dikendalikan Syarikat UEM Edgenta Berhad.

Wednesday, October 5, 2016

Lima penagih asyik layan gian dicekup - Suara Perak

October 5, 2016
BOTA: Lima penagih yang begitu asyik layan gian terperanjat apabila rumah sewa dekat Bota Kiri yang dijadikan sarang penagihan diserbu pihak polis dalam satu operasi pada Selasa.



Dalam serbuan sekitar 5 petang itu, sekumpulan pegawai dan anggota telah menyerbu sebuah unit rumah yang dipercayai merupakan sarang golongan penagih hasil maklumat orang ramai.

Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Perak Tengah, ASP M.D Suresh berkata kesemua lelaki tempatan itu berusia di antara 26 hingga 55 tahun dan sebahagian daripadanya merupakan pekerja buruh kasar.

"Kesemua mereka sedang khayal ketika diserbu pihak polis dan ada juga yang cuba melarikan diri namun gagal.

"Dalam serbuan tersebut kami berjaya menemui 30.7 gram heroin dan ujian saringan air kencing juga mendapati kesemua mereka positif dadah jenis morfin," katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Mesyuarat IPD Perak Tengah pada Rabu.

Katanya, tiga daripada suspek mempunyai beberapa rekod lampau dan kes akan mahkamah disiasat lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang jika sabit kesalahan dijatuhkan hukuman mati mandatori.

Tambahnya, buat masa ini pihaknya masih menyiasat samada kes tersebut merupakan sebahagian daripada sindiket atau ahli geng.

"Pihak polis amat menghargai kerjasama orang ramai yang telah memberikan kerjasama ke atas kes terbabit dan kami mengharapkan bantuan dan maklumat untuk membanteras najis dadah ini akan berterusan,"katanya lagi.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superitendan Aziz Hasan berkata indeks aktiviti jenayah di daerah tersebut telah menunjukkan penurunan positif mulai Januari hingga Oktober tahun ini berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas.

" Sepanjang tempoh Januari hingga Oktober tahun lepas, kita telah mencatatkan sebanyak 190 kes dan bagi tempoh sama tahun ini ianya adalah sebanyak 163, menunjukkan peratusan penurunan sebanyak 14.2 peratus atau 27 kes.

"Kes terbanyak direkodkan adalah kes curi motosikal sebanyak 53 kes sehingga 4 Oktober ini, dan diikuti dengan kes pecah rumah,"katanya.

Aziz berkata peratusan itu telah berjaya merealisasikan impian mereka untuk memastikan IPD Perak Tengah sentiasa berada di tiga teratas carta IPD terbaik seluruh negeri Perak hasil kerjasama semua pihak

Monday, October 3, 2016

Empat Bersaudara Ditahan Miliki Dadah Bernilai Lebih RM600,000 - Suara Perak

3 Oktober 2016



IPOH: Empat bersaudara ditahan polis di rumah sewa mereka di Chemor pagi Ahad kerana memiliki dadah bernilai lebih RM600,000.


Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Perak, ACP R. Ravi Chandran, mereka yang terdiri daripada dua lelaki dan dua perempuan berumur antara 22 hingga 36 tahun ditahan oleh sepasukan pegawai dan anggota polis  di sewa rumah berkenaan pada jam 9.30 pagi.



Katanya, hasil pemeriksaan polis menemui dadah jenis methamphetamine seberat 640 gram dan heroin seberat 1140 gram bernilai RM620,564.00.

`` Dadah tersebut disyaki untuk diedarkan di kawasan Chemor dan boleh dibekalkan untuk 2,500 orang penagih dadah,’’ katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Perak di Ipoh pada Isnin.

Menurut Ravi Chandran, kesemua suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula hari ini (Isnin) sehingga 8 Oktober bagi membolehkan pihak polis menjalankan penyiasatan.

Katanya, kesemua suspek itu ditangkap di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Merbahaya 1952 yang membawa hukuman mandatori gantung sampai mati.
  
Beliau percaya, empat bersaudara itu dipercayai merupakan anggota satu sindiket pengedaran dadah yang bergerak aktif sejak tiga bulan lalu di kawasan Chemor dan polis juga sedang mengesan rangkaian sindiket lain yang dipercayai mempunyai hubungan dengan kesemua suspek berkenaan.

Ravi Chandran juga memberitahu penyalahgunaan dadah jenis syabu di negeri  Perak meningkat secara mendadak sebanyak 659 peratus disamping penyalahgunaan dadah jenis heroin dan ganja.

Menurutnya, bagi tempoh Januari hingga September 2016, seramai 8,554 orang telah ditangkap atas kesalahan  memiliki dadah, peningkatan 3 peratus  berbanding 8,358 orang pada tempoh yang sama tahun 2015.

``Kesemua tangkapan kes-kes pengedaran dan memiliki dadah ini telah menghasilkan pelbagai jenis dadah yang berjumlah RM7.3 juta.

Beliau memberitahu, bagi Januari hingga September 2016, seramai 1,904 orang penagih baru berjaya ditangkap berbanding 1,836 orang bagi tempoh yang sama tahun 2015 manakala penagih berulang adalah seramai 3,243 orang.

Mengenai sitaan harta pengedar dadah, katanya, tindakan di bawah Akta Perlucutan Harta 1988 terhadap kesemua pengedar dadah yang ditangkap  telah menghasilkan rampasan pelbagai jenis harta benda termasuk  rumah, kodominium , tanah dan kenderaan serta akaun bank bernilai RM7.8 juta, berbanding RM6.1 juta bagi tempoh yang sama tahun 2015 iaitu peningkatan 26 peratus.